Selangor laksana dua inisiatif rintis tangani buli, kesihatan mental pelajar
SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan dua inisiatif rintis bagi menangani isu buli dan memperkukuh kesihatan mental pelajar di sekolah.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, pendekatan proaktif itu selari dengan komitmen pentadbiran untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan emosi pelajar tidak dikompromi sama sekali.
“Kerajaan Negeri memandang serius sebarang bentuk keganasan, buli dan gangguan terhadap pelajar, dan akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berwajib bagi melindungi pelajar daripada ancaman fizikal serta mental,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Inisiatif tersebut adalah Kumpulan Sokongan Rakan Sebaya dan Latihan Pemerkasaan Guru, dan akan dilaksanakan secara rintis di sekolah menengah berasrama dan sekolah yang mempunyai kadar insiden buli yang tinggi.
Menerusi inisaitif Kumpulan Sokongan Rakan Sebaya, pelajar yang menjadi mangsa buli akan dapat mencari ruang selamat untuk berkongsi pengalaman dan menerima dorongan daripada rakan mereka.
Inisiatif itu dibimbing guru kaunselor supaya lebih berkesan membantu mangsa mengatasi trauma.
Sementara itu, inisiatif Latihan Pemerkasaan Guru akan memberi tumpuan kepada pengetahuan menyeluruh berkenaan punca buli, budaya senioriti, ketakutan melapor dan penguasaan garis panduan sedia ada dalam pengurusan salah laku.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu membina keyakinan mangsa, tetapi juga mencegah insiden buli daripada terus berulang. Kejayaan projek rintis ini akan dikongsi bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pertimbangan pelaksanaan nasional,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, Jamaliah berkata, kerajaan negeri akan turut memperkukuh modul Selangor Mental Sihat (SEHAT) dengan elemen baharu yang memberi fokus kepada pendidikan emosi dan intervensi awal kesihatan mental bagi pelajar.
Program itu turut meliputi Kaunselor Hab SEHAT, Talian SEHAT dan subsidi rawatan psikologi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








