Selangor beku cuti pegawai, ketua jabatan
Pastikan usaha pemantauan, proses penyelarasan pengurusan bencana berjalan dengan baik
SHAH ALAM – Cuti pegawai kerajaan negeri Selangor khususnya ketua-ketua jabatan berkaitan dibekukan sehingga 15 Disember ini bagi memastikan usaha pemantauan dan proses penyelarasan pengurusan bencana berjalan dengan baik.
Pembekuan cuti itu dimaklumkan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, hari ini.
“Jika ada sebarang kecemasan maksudnya mereka ada di sini, sebab itu kita ambil tindakan yang bersifat persiapan.
“Jadi kalau tak ada apa yang membabitkan bencana, mereka mungkin boleh cuti balik tetapi buat sementara ini, kita bekukan dulu cuti hujung tahun kepada pegawai-pegawai kita,” katanya selepas merasmikan Ekspo Usahawan Selangor 2025 (SELBIZ 2025), di sini hari ini.
Buat masa ini, katanya, kerajaan negeri terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk beberapa Exco turun ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menyantuni mangsa banjir.
Mengenai bantuan kepada mangsa banjir, Mohd Najwan berkata, mereka yang terjejas perlu berdaftar dan berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Biasanya yang berdaftar di PPS, kita ada data mereka ni dan mereka ini untuk menerima bantuan daripada kerajaan dan juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Kadang-kadang mangsa ni mereka mungkin berlindung di rumah saudara ataupun kawan-kawan, jadi dari segi itu susah untuk kita kesan,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Mohd Najwan menambah, pihaknya sudah mengaktifkan Team Selangor dan Pasukan Sukarelawan Selangor (SERVE) dalam pelaksanaan kerja pembersihan sekiranya diperlukan.
Beliau berkata, ketika ini tumpuan peranan sukarelawan adalah membersihkan fasiliti dan kemudahan awam seperti masjid, surau dan dewan orang ramai.
“Untuk rumah penduduk, kita perlu mengambil kira-kira pelbagai faktor kadang-kadang penduduk tidak selesa dengan pembabitan sukarelawan luar jadi kita tumpukan peranan dan fungsi mereka kepada pembersihan kemudahan-kemudahan awam,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














