Pemuda UMNO Johor gesa kerajaan negeri perkenal pakej rangsangan ekonomi
JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor menggesa kerajaan negeri supaya segera memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bagi menangani kesan langsung krisis tenaga global yang semakin menekan rakyat dan sektor perniagaan.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, pakej itu perlu memberi keutamaan kepada kumpulan sasar dan golongan rentan paling terkesan akibat kenaikan harga bahan api termasuk pengusaha bas sekolah, bas pelancong, bot pelancongan khususnya di Mersing, nelayan kecil serta petani, bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan negeri.
Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya melaksanakan langkah segera seperti pemberian rebat, potongan sewa dan pengurangan cukai premis bagi membantu meringankan beban peniaga kecil dan sederhana yang berdepan peningkatan kos operasi.
“Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) juga disaran menawarkan diskaun sewa kepada penyewa rumah PKPJ sebagai langkah membantu golongan terkesan menghadapi tekanan ekonomi semasa.
“Pemuda UMNO mencadangkan golongan bujang bawah 40 tahun dipertimbangkan sebagai penerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa ke-4, yang turut merangkumi pekerja pos dan pengawal keselamatan pelbagai sektor untuk dimasukkan sebagai penerima bantuan tersebut, selaras peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketetapan itu dibuat selepas mesyuarat sayap berkenaan di Johor Bahru, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Noor Azleen turut berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang membawa kembali 6,252 pemimpin pelbagai peringkat ke dalam parti, sekali gus memperkukuh kekuatan organisasi.
Beliau berkata, pihaknya juga mengalu-alukan peningkatan pendaftaran ahli baharu melalui sistem dalam talian yang disifatkan mencerminkan keyakinan generasi muda terhadap perjuangan parti, dengan pertambahan ahli Pemuda mencatatkan peningkatan paling ketara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








