Pahang umum BKK dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri
KUANTAN – Penjawat awam di Pahang bakal menerima durian runtuh apabila kerajaan negeri hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, kejayaan pentadbiran negeri selama ini tidak mungkin dicapai tanpa komitmen dan kesetiaan penjawat awam yang menjadi teras penyampaian perkhidmatan.
“Komitmen dan kesetiaan mereka adalah nadi yang menggerakkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
“Sebagai penghargaan atas pengorbanan, keikhlasan dan khidmat bakti sepanjang tahun, kerajaan negeri dengan sukacita mengumumkan BKK sebanyak dua bulan gaji,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Beliau berkata, pembayaran itu membabitkan peruntukan keseluruhan RM48 juta dan akan dikreditkan dalam dua fasa pada tahun depan.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM3.75 juta bagi Pemberian Insentif Khas Pahang 1st iaitu sebanyak RM200 bagi 18,743 kakitangan awam Persekutuan yang berpendapatan bawah RM3,000 pada 31 Disember ini.
“Saya amat berharap seluruh penjawat awam negeri dan Persekutuan terus berdiri teguh bersama kerajaan negeri untuk memperkasa iltizam, memantapkan integriti dan memelihara semangat berpasukan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya menjadi benteng mempertahankan fakta ketika berdepan persepsi yang cuba memesongkan keyakinan rakyat.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mengumumkan beberapa inisiatif kebajikan termasuklah Inisiatif Sosial dan Komuniti RM300 secara one-off kepada pelatih pemulihan dalam komuniti sebagai galakan untuk terus mengikuti program di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
Inisiatif itu membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM468,000.
“Pada masa sama, kerajaan negeri meneruskan sumbangan ‘one-off’ RM500 kepada setiap penyelia dan petugas PPDK membabitkan peruntukan RM150,000.
“Bagi memperkukuh usaha pencegahan penyalahgunaan dadah, sejumlah RM75,000, masing-masing diperuntukkan kepada PEMADAM dan PENGASIH manakala RM150,000 pula diperuntukkan kepada Drugs Intervention Community (DIC) untuk menggerakkan aktiviti kesedaran serta pendidikan antidadah di seluruh negeri.
“Sebagai komitmen berterusan untuk membangunkan kemudahan sosial yang lebih inklusif, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membina sebuah Kompleks Komuniti di Lipis dengan peruntukan RM10 juta bagi manfaat masyarakat setempat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








