JKD diaktifkan seluruh Selangor tangani isu rumah ibadat tidak sah
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan pegawai daerah telah diaktifkan di semua daerah di Selangor sebagai langkah segera meredakan ketegangan susulan insiden perobohan rumah ibadat di Rawang.
JKD berperanan sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak berkaitan termasuk pemilik tanah, pengurusan rumah ibadat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencari penyelesaian yang munasabah dan berlandaskan undang-undang.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pendekatan tersebut diambil bagi memastikan sebarang pertikaian berkaitan pembinaan rumah ibadat dapat ditangani secara tersusun tanpa mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
“Kejadian di Rawang telah mencetuskan kegusaran dan kerisauan dalam kalangan rakyat.
“Ini perlu ditangani segera untuk mengelakkan sebarang insiden yang akan menggugat keharmonian negeri atas faktor kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, sekiranya rundingan melalui JKD tidak mencapai kata sepakat, jawatankuasa itu akan mengesyorkan supaya pemilik tanah meneruskan tindakan melalui saluran mahkamah.
Tegasnya, semua pihak perlu mematuhi proses perundangan dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mengundang implikasi keselamatan serta mengganggu keharmonian negeri.
“Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah. Ini berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah,” katanya lagi.
Dengan mengambil kira aspek keselamatan, Amirudin berkata, Majlis Keselamatan Negeri Selangor memutuskan pemilik tanah yang mengesan pencerobohan, termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan, mesti membuat laporan polis.
“Ini akan membolehkan pihak PDRM menyiasat dan sekiranya terbukti, proses pendakwaan bagi kesalahan pencerobohan akan bermula,” katanya.
Katanya lagi, pemilik tanah juga perlu mengeluarkan notis kepada pihak yang menceroboh serta memaklumkannya secara rasmi kepada pejabat daerah.
Bagi rumah ibadat tidak sah yang didirikan di atas tanah kerajaan negeri, Amirudin berkata, beliau telah mengarahkan prosedur sedia ada diperketat dengan penguatkuasaan segera di peringkat PBT.
Dia juga mengarahkan penguatkuasaan lebih jelas terhadap prosedur operasi standard jawatankuasa khas agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao di Selangor, dikenali sebagai Limas.
Pada Rabu lalu, polis menahan aktivis, Tamim Dahri dan tiga individu lain berhubung perobohan kuil di Rawang.
Mereka berkata tindakan itu adalah respons kepada seruan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim agar pihak berkuasa tempatan “membersihkan” rumah ibadat tidak sah.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan perintah reman dua hari terhadap mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








