BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Cubaan ambil kasut atas bumbung berakhir tragedi, polis sahkan tiada unsur buli

MELAKA – Polis menafikan dakwaan berlakunya unsur buli dalam insiden seorang murid lelaki terjatuh dari bumbung garaj basikal di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam, di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asistan Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 12.40 tengah hari ketika waktu pertukaran kelas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai membaling kasut pelajar lain sehingga tersangkut di atas bumbung garaj basikal sekolah.

“Murid lelaki terbabit kemudian cuba mengambil semula kasut rakannya dengan memanjat bumbung berkenaan.

“Semasa mangsa cuba memanjat semula ke tingkat satu bangunan sekolah, bahagian bumbung yang dipijak patah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan pada kaki kanan sebelum diberikan bantuan kecemasan awal oleh pihak sekolah.

Katanya, murid itu kemudian dihantar ke Hospital Melaka sebelum dipindahkan ke Putra Specialist Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Murid berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan disahkan mengalami keretakan kecil pada pergelangan kaki kanan,” katanya.

Christopher berkata, siasatan lanjut yang dijalankan bersama pasukan siasatan jenayah, forensik serta saksi mendapati kejadian berlaku akibat kemalangan sendiri.

“Mangsa turut mengesahkan tiada sebarang unsur buli, penganiayaan atau pengabaian berlaku sebelum atau semasa kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar sehingga boleh menimbulkan kegusaran masyarakat dan mengganggu siasatan.

Kes kini disiasat di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).

Terdahulu, tular di WhatsApp gambar sebuah ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) berada di sekolah berkenaan bersama dakwaan seorang murid Tahun Lima terjatuh dari koridor sekolah.

Sementara itu, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman turut memaklumkan kejadian berpunca daripada tindakan murid itu sendiri dan bukan disebabkan faktor lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button