BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Bot pancung rempuh bot Maritim Malaysia, dua anggota cedera

SEPANG – Cubaan sebuah bot pancung yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) mendarat di perairan Malaysia gagal apabila berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), malam tadi.

 

Dua anggota Maritim Malaysia yang cedera selepas bot dinaiki mereka dilanggar sebuah bot pancung membawa PATI.

 

Dalam insiden itu, dua anggota Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan cedera selepas bot mereka dirempuh ketika mengejar bot terbabit berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejadian bermula selepas Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut mengesan sebuah bot mencurigakan pada jam 9 malam di kawasan Skim Pemisahan Trafik (TSS).

“Bot ronda Maritim yang sedang menjalankan rondaan Op Patkor Optima segera digerakkan.

“Namun bot pancung berkuasa tinggi itu bertindak agresif lalu merempuh sisi kiri aset penguat kuasa sebelum meloloskan diri,” katanya.

Akibat rempuhan, seorang anggota cedera di bahagian hidung, manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kaki dan tangan.

Kedua-duanya dibawa ke Hospital Port Dickson dan dilaporkan stabil.

Menurut Salehuddin, bot pancung berkenaan dipercayai berpatah balik ke perairan antarabangsa selepas gagal melakukan pendaratan.

Operasi mengesan suspek serta rangkaian penyeludupan masih diteruskan.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia memandang serius cubaan penyeludupan manusia melalui laut kerana ia bukan sahaja menjejaskan keselamatan negara, malah mengundang risiko besar terhadap nyawa PATI dan anggota penguat kuasa.

“Insiden ini membuktikan tugas penguat kuasa maritim berisiko tinggi, kerana mereka sentiasa berdepan ancaman secara langsung termasuk dirempuh atau kehilangan nyawa ketika menjalankan amanah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button