Sijil halal dua hotel lima bintang di Melaka ditarik balik
BANDAR HILIR – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menarik balik Sijil Pengesahan Halal (SPHM) yang diberikan kepada dua hotel lima bintang di sini, susulan penganjuran ‘parti arak’, dua minggu lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Rahmad Mariman berkata, penarikan serta-merta itu dibuat selepas pemantauan mendapati bekas alkohol digunakan bersama peralatan dapur yang sepatutnya digunakan hanya untuk penyediaan makanan halal, lapor Sinar Online.
“Tindakan ini diambil mengikut Klausa 32(3)(a)(ii) Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia Domestik 2020 (MPPHM 2020).
“Berdasarkan aduan diterima, pemeriksaan mendapati memang pesta alkohol sedang berlangsung.
“Pihak hotel turut mengakui penganjuran majlis tersebut, maka kami mengambil keputusan menarik balik sijil halal yang dimiliki sejak lima tahun lalu,” katanya.
Sebanyak 30 hotel di Melaka memiliki sijil halal dan JAIM akan terus memantau bagi mengelakkan penyalahgunaan sijil berkenaan.
Timbalan pengerusi Majlis Agama Islam Melaka itu kemudiannya berkata, dua hotel terbabit dibenarkan memohon semula sijil halal dalam tempoh tiga bulan, tetapi tertakluk pematuhan semua syarat.
“Jika kita berpuas hati, sijil halal boleh diberikan semula. Diharapkan tindakan tegas seperti ini akan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk mengunjungi premis memiliki sijil halal di Melaka,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















