SUKAN

Melaka juara sulung Piala TYT Pulau Pinang selepas tewaskan KL 2-0

BAYAN LEPAS – Pasukan Melaka muncul juara sulung Piala TYT Pulau Pinang 2026 selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada perlawanan akhir The Inaugural Penang Governor’s Cup Sepaktakraw Invitation Championship 2026 di SPICE Arena di sini, hari ini.

Dalam aksi kemuncak kejohanan tersebut, Melaka tidak berdepan masalah besar apabila mengatasi Kuala Lumpur dengan keputusan 15-11, 15-7 untuk mengesahkan kejuaraan edisi sulung kejohanan berprestij itu.

Kejohanan yang berlangsung dari 6 hingga 11 Januari itu menghimpunkan pasukan jemputan terbaik dari seluruh negara, sekali gus menjadi platform penting dalam usaha memartabatkan sukan sepak takraw serta memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab penganjuran sukan utama.

Dengan kemenangan itu, Melaka membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, manakala Kuala Lumpur yang muncul naib juara menerima RM10,000. Pasukan tuan rumah, Pulau Pinang menamatkan saingan di tempat ketiga untuk meraih RM5,000, sementara Negeri Sembilan di tempat keempat membawa pulang RM2,500.

Dalam pada itu, kejayaan Melaka turut diserikan dengan pengiktirafan individu apabila Syahir Rosdi dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan.

Anugerah Pemain Import Terbaik pula menjadi milik Hapeesom dari MT Waris, manakala Zarif Marican dari Kuala Lumpur dipilih sebagai Tekong Terbaik.

Bagi kategori Apit Kanan Terbaik, Azlan Alias dari Melaka menerima pengiktirafan, sementara Amirul Zazwan dari Kuala Lumpur pula dinobatkan sebagai Apit Kiri Terbaik.

Penganjuran edisi sulung Piala TYT Pulau Pinang itu dilihat sebagai langkah signifikan dalam mengangkat semula kegemilangan sepak takraw tempatan, selain membuka ruang lebih luas kepada pemain-pemain berbakat untuk menyerlah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button