
Bot nelayan tunda ikan di kawasan larangan ditahan
Tanjung Manis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis telah menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas disyaki menunda ikan di kawasan larangan, kelmarin.
Pengarahnya, Komander Maritim Gilbert Tinggak Anak Numpang berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika membuat pemantauan di sekitar perairan Muara Paloh telah mengesan bot yang mencurigakan itu sedang melakukan aktiviti perikanan kira-kira pukul 6.25 pagi.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang tekong dan tiga orang awak-awak warga tempatan dalam lingkungan umur 22 hingga 45 tahun berada di atas bot.
“Bot nelayan tempatan terbabit seterusnya ditahan sebelum dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen menunda ikan di kawasan kurang tujuh batu nautika dari pantai.
Dalam pada itu, beliau menyarankan kepada semua komuniti maritim agar mematuhi undang-undang di laut.
Beliau juga mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut kepada pihaknya bagi menjamin keselamatan di perairan negara.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35728765 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








