Maritim Malaysia tahan bot nelayan bersama empat kru warga Myanmar
Oleh : Ahmad Dzikri
PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan bersama empat kru warga Myanmar di sekitar perairan Pulau Ketam di sini, pada pukul 7 petang kelmarin.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot nelayan kelas C itu ditahan Maritim Malaysia dalam Op Ehsan dan Op Tiris 3.0 ketika sedang melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda di 17.5 batu nautika barat laut Pulau Ketam.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga Myanmar berusia dalam lingkungan umur di antara 26 hingga 39 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua warga asing dan bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing di atas kapal dan menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis selain kesalahan menggajikan kru warga asing tanpa permit di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Beliau menyarankan orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkenaan salah laku di perairaran negara dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau melalui MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk maklum balas segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








