BERITA SEMASA

MCMC, Kerajaan Melaka perkukuh pengurusan trafik dan pelancongan pintar

MELAKA – Usaha menjadikan Melaka sebuah negeri pelancongan yang lebih tersusun dan selamat diperkukuh apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Negeri Melaka bagi mempertingkat pengurusan trafik dan pelancongan berasaskan teknologi pintar.

Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

Majlis pertukaran MoU itu disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh.

MCMC diwakili Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din manakala Kerajaan Negeri Melaka diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad.

MCMC berkata, melalui kerjasama tersebut, Melaka akan memperkukuh pengurusan trafik dan sektor pelancongan menerusi penggunaan sistem pintar yang beroperasi melalui Network Operation & Command Centre.

“Sistem itu membolehkan pemantauan bersepadu aliran trafik serta kawasan tumpuan pelancong secara masa nyata, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh.

Langkah itu juga dianggap penting dalam memastikan pengalaman lebih baik kepada jutaan pelancong yang berkunjung ke Melaka setiap tahun, selain menyokong aspirasi Blueprint Melaka Pintar 2035 (SMB2035) yang mensasarkan negeri berdaya huni dan berdaya saing menjelang 2035.

MCMC berkata, MoU berkenaan turut merangkumi peluasan infrastruktur digital termasuk penyediaan Wi-Fi awam berkelajuan tinggi, rangkaian gentian optik serta pemasangan smart pole di seluruh negeri.

“Kemudahan tersebut dijangka memudahkan pelancong mendapatkan maklumat, mempertingkat navigasi bandar serta menggalakkan aplikasi digital dalam operasi pelancongan.

“Selain sektor pelancongan, kerjasama ini turut memberi impak kepada pembangunan ekonomi digital tempatan terutama dalam peruncitan, logistik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya lagi.

MCMC turut berkata, pihaknya komited terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Melaka bagi memastikan pembangunan bandar pintar yang inklusif, mampan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat dan pelancong.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Fairul Nizam Roslan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button