Kerajaan teliti perluas sekatan umur kepada platform permainan dalam talian
KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti untuk memperluas sekatan umur kepada pengguna platform permainan dalam talian seperti Roblox bagi meningkatkan keselamatan
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi mengelakkan platform itu disalahgunakan kumpulan ekstremis untuk mendekati dan merekrut kanak-kanak seperti yang didedahkan bekas timbalan ketua polis negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
“Perbincangan saya dengan pihak Roblox, sebagai contoh, sejak tahun lalu menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk bekerjasama. Isunya mungkin hanya dari segi pengesahan pengguna dan pengesahan umur pengguna.
“Ayob Khan sebut itu turut merangkumi anak-anak bawah umur. Jadi, waktu ini pihak MCMC sedang mengenakan sekatan umur kepada pengguna media sosial dan kita akan teliti kesesuaian untuk mengembangkan aspek pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) dan pengesahan umur kepada platform seperti Roblox,” katanya dalam sidang media selepas hadir pada majlis pertukaran dokumen pembiayaan RM5.2 bilion untuk Digital Nasional Berhad (DNB).
Fahmi berkata, platform berkenaan turut sedang dipantau Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Semalam, Ayob Khan mendedahkan, kanak-kanak berusia seawal 12 tahun direkrut golongan ekstremis menerusi permainan dalam talian seperti Roblox.
Ayob Khan dilaporkan berkata, golongan ekstremis akan mendekati kanak-kanak menerusi platform permainan untuk berkawan sebelum membawa mereka menyertai kumpulan tertutup, di mana mereka diasuh dan dididik untuk melancarkan serangan.
Roblox sendiri telah memperkenalkan sistem akaun berasaskan umur bagi pengguna bawah 16 tahun, iaitu Roblox Kids untuk kanak-kanak berusia lima hingga lapan tahun dan Roblox Select bagi mereka berusia sembilan hingga 15 tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








