POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Empat DUN bawah Parlimen Rembau libat saingan dua, tiga penjuru

REMBAU – Empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Rembau menyaksikan pertandingan satu lawan satu dan tiga penjuru selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 selesai di Dewan Seri Rembau, di sini hari ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Zamri Mohd Esa mengumumkan semua borang pencalonan diterima, sekali gus mengesahkan senarai calon yang akan bertanding di DUN N25 Paroi, N26 Chembong, N27 Rantau dan  N28 Kota.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada DUN Rantau apabila penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi yang disandang sejak 2004.

Menteri Luar yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengerusi BN Negeri Sembilan itu akan dicabar calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Azizul Hakim Mahdi dalam pertandingan satu lawan satu.

prn negeri sembilan
Persaingan DUN Rantau melibatkan penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Dr Azizul Hakim Mahdi. – Foto Bernama

Sementara itu, DUN Paroi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon PH, Ahmad Shahir Mohd Shah yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau akan dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zin dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohd Nazree Mohd Yunus.

Bagi DUN Chembong pula, penyandang kerusi daripada BN, Datuk Zaifulbahri Idris akan mempertahankan kerusinya dalam saingan satu lawan satu menentang calon PH, Danish Nazran Murad.

Di DUN Kota, penyandang BN, Suhaimi Aini berdepan pertandingan tiga penjuru apabila dicabar calon PH, Muhammad Allif Ibrahim dan calon BERSATU, Akmal Noradzmi Abdul Rahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 28 Julai, manakala hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ialah pada 1 Ogos.

PRN kali ini melibatkan seramai 889,490 pengundi berdaftar, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button