BERITA SEMASA

PH tidak mahu terheret dalam polemik penjajaran kuasa politik pihak lawan

SEREMBANPakatan Harapan (PH) berpuas hati dengan kelancaran proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung di semua pusat penamaan calon hari ini.

Menurut PH, proses penamaan calon menandakan bermulanya fasa penting kempen untuk mendekati rakyat dengan membawa agenda kestabilan, pentadbiran bersih dan mesra rakyat yang menjadi teras pentadbiran kerajaan negeri.

“PH memasuki medan pilihan raya dengan kekuatan jentera yang mantap hasil persiapan yang telah dilakukan sejak beberapa bulan lalu, disokong kepimpinan pusat, sayap parti serta anggota dari seluruh negara yang bergerak sebagai satu pasukan.

“PH turut merakamkan penghargaan kepada ribuan penyokong dan sukarelawan yang hadir di pusat-pusat penamaan calon, yang disifatkan mencerminkan sokongan terhadap gabungan itu untuk terus mentadbir Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi menghadapi tempoh berkempen, katanya, strategi yang dirangka memberi tumpuan kepada pendekatan hyper-local menerusi program turun padang, walkabout dan kunjungan dari rumah ke rumah bagi mendengar sendiri keperluan serta harapan pengundi.

Pada masa sama katanya, jentera digital akan digerakkan bagi menyebarkan manifesto dan tawaran parti secara telus, kreatif dan berfakta, khususnya untuk mendekati pengundi muda dan pengundi kali pertama.

Katanya, PH turut menegaskan komitmennya untuk menjalankan kempen secara sihat, mengelakkan provokasi melampau serta memberi fokus kepada penyelesaian dan tawaran yang mampu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

Pada masa sama, gabungan itu turut bertegas tidak mahu terheret dalam polemik penjajaran kuasa politik yang dibangkitkan pihak lawan, sebaliknya mahu menumpukan usaha kepada rekod pencapaian pentadbiran dan agenda pembangunan negeri.

Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Amiruddin Harun atau lebih dikenali sebagai Tok Min, menyeru seluruh pengundi supaya keluar mengundi dan memberikan mandat kepada calon PH bagi memastikan kesinambungan kestabilan serta pembangunan Negeri Sembilan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button