ZRA dan Zamir tonjol budaya diskusi matang, AMANAH bangga kewibawaan pemimpin muda
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) berbangga dengan kewibawaan pemimpin mudanya, Mohamad Zamir Ghazali yang disifatkan berjaya menampilkan penguasaan isu pertanian serta kemampuan berhujah secara matang dan berfakta dalam perbincangan bersama penganalisis politik, Zainal Rashid Ahmad (ZRA).
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Ab Samad berkata, perbincangan terbuka yang disiarkan menerusi YouTube itu membuktikan perbezaan pandangan tidak semestinya membawa kepada pertelingkahan, sebaliknya mampu memberi manfaat kepada rakyat apabila sesuatu isu dibahaskan secara berilmu dan saling menghormati.
Beliau berkata, perbincangan hampir dua jam itu menyentuh isu yang dekat dengan kehidupan rakyat, khususnya golongan petani dan pesawah.
“Saya mengucapkan tahniah kepada kedua-duanya kerana berjaya membincangkan isu yang begitu dekat dengan kehidupan rakyat, khususnya golongan petani dan pesawah, secara terbuka, matang dan penuh harmoni,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Khalid berkata, sekiranya terdapat insiden yang dilihat sebagai keterlanjuran kata sepanjang perbincangan berkenaan, beliau yakin ia tidak disengajakan memandangkan tempoh diskusi yang panjang.
Menurutnya, Zamir bukan sahaja berjaya menjelaskan pelbagai isu yang dibangkitkan ZRA, malah memperlihatkan kewibayaan dalam mempertahankan dasar dan usaha Kerajaan MADANI, khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang diterajui Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau turut memuji kesediaan Zamir mengakui kelemahan yang berlaku, selain menjelaskan tindakan kerajaan serta kepentingan memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan fakta dan pertimbangan bertanggungjawab.
Katanya, pendekatan berkenaan wajar dijadikan budaya politik negara dengan kritikan dijawab menggunakan hujah, persoalan dijelaskan berasaskan fakta dan kelemahan diperbaiki melalui tindakan.
“Ini pendekatan yang sepatutnya menjadi budaya politik negara. Kritikan dijawab dengan hujah, persoalan dijelaskan dengan fakta dan kelemahan diperbaiki melalui tindakan, bukannya sekadar retorik atau serangan peribadi,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid berkata, AMANAH mempunyai ramai tokoh profesional, teknokrat dan pemimpin berwibawa dengan kepakaran serta pengalaman luas dalam bidang masing-masing, namun sebahagian mereka belum mendapat ruang dan perhatian sewajarnya untuk menonjolkan kemampuan kepada masyarakat.
Beliau yakin Zamir merupakan antara ramai tokoh berkebolehan dalam parti itu yang mampu memberikan sumbangan besar kepada parti, kerajaan dan negara.
Katanya, beliau berharap lebih ramai tokoh profesional dan pemimpin muda AMANAH tampil berkongsi kepakaran, memberikan penjelasan serta menyumbangkan idea dan penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi rakyat.
Khalid turut merakamkan penghargaan kepada ZRA STRIM kerana memberikan peluang kepada Zamir untuk berdiskusi bersama Zainal Rashid.
Beliau berharap budaya politik berasaskan ilmu, fakta dan penyelesaian terus berkembang demi kepentingan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







