BERITA SEMASA

Bangladesh hargai kerjasama Malaysia terima warganya jadi pekerja

PUTRAJAYA – Kerajaan Bangladesh berharap Malaysia akan terus menerima pekerjanya termasuk memberi peluang kepada lebih ramai golongan muda negaranya menjadi sebahagian daripada tenaga kerja di negara ini.

Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof Dr Muhammad Yunus berkata, pihaknya amat menghargai kerjasama dan keprihatinan Malaysia selama ini terhadap pekerjanya yang datang mencari rezeki di negara ini.

“Mereka sangat gembira dapat bekerja di sini. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Malaysia atas kesudian menjadi tuan rumah kepada begitu ramai rakyat kami.

“Kami berharap pintu ini akan terus terbuka dan semakin luas agar lebih ramai golongan muda dapat datang dan bekerja di Malaysia.

“Mereka menimba banyak ilmu dan pengalaman di sini, yang kemudiannya dibawa pulang untuk memulakan perniagaan sendiri serta menjana aktiviti ekonomi di negara asal mereka,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kompleks Perdana Putra, di sini, hari ini.

Muhammad Yunus kini dalam lawatan rasmi tiga hari yang berakhir esok.

Terdahulu kedua-dua pemimpin dan delegasi mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelbagai kerjasama membabitkan sektor pendidikan, pertahanan, tenaga, perdagangan dan ekosistem halal.

Sehingga akhir tahun 2024, terdapat kira-kira 898,970 pekerja asing dari Bangladesh di Malaysia, menjadikan mereka kumpulan pekerja asing terbesar di negara ini. Jumlah ini mewakili 37.96 peratus daripada keseluruhan pekerja asing di Malaysia, yang berjumlah kira-kira 2.36 juta orang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button