Sayap Bersekutu BERSATU WP terbubar serta-merta
CYBERJAYA – Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Wilayah Persekutuan diisytihar terbubar serta-merta.
Pembubaran itu diumumkan Ketua Sayap Bersekutu Wilayah Persekutuan, Datuk Simon Suresh V dalam satu kenyataan bersama yang turut ditandatangani lapan lagi Ketua Sayap Bersekutu Bahagian Wilayah Persekutuan.
Selain Simon, mereka terdiri daripada Datuk Simon Loi Teck Ong (Bukit Bintang); Baskaran Muniandy (Bandar Tun Razak); Nalendran Muniandy (Putrajaya) dan Gangarderan Raja (Titiwangsa).
Ini diikuti Ketua Sayap Bersekutu Cheras, Moana Rao; Meshach Varunamegam (Batu); Jegatheeswaran Supaiya (Segambut) dan Parthiban Muniandy (Lembah Pantai).
Dalam kenyataan sama, mereka turut mengumumkan peletakan jawatan secara sebulat suara daripada keanggotaan parti dan semua jawatan yang disandang berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Suresh yang juga Ketua Sayap Bersekutu Setiawangsa, segala keputusan tersebut dibuat dengan rela hati, secara kolektif, tanpa sebarang desakan daripada mana mana individu atau kumpulan luar.
Jelasnya, perjuangan tidak boleh dikongkong oleh ketakutan kepimpinan yang enggan menerima realiti perubahan.
“Kami percaya sejarah akan menilai siapa yang benar-benar mempertahankan prinsip dan siapa yang hanya mempertahankan jawatan,” katanya.
Kenyataan itu turut menyebut, pemecatan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin adalah satu tindakan yang tidak adil, tidak berhemah serta mencerminkan kegagalan pengurusan krisis dalaman parti.
Mereka secara terbuka tidak bersetuju dengan cara Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Azmin Ali, serta Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohammed Radzi Manan mengendalikan isu berkenaan.
“Proses yang berlaku jelas memperlihatkan ketidakmatangan politik dan ketakutan berhadapan cabaran dalaman secara demokratik.
“Tindakan memecat timbalan presiden serta mana-mana pimpinan yang menyatakan sokongan kepada beliau hanyalah membuktikan betapa rapuh dan lemahnya kepimpinan Muhyiddin dalam mengurus perbezaan pandangan.
“Ini bukan ciri seorang pemimpin yang berjiwa besar. Sebaliknya, ia menggambarkan kepimpinan yang terdesak dan takut kehilangan sokongan majoriti besar akar umbi yang berdiri teguh bersama Hamzah,” katanya lagi.
Sembilan ketua sayap Bersekutu Wilayah Persekutuan itu turut menjelaskan bahawa sebarang desakan atau tekanan hanya datang daripada kelompok kepimpinan Muhyiddin dan penyokong-penyokong beliau sahaja.
“Di peringkat akar umbi, suara yang mahukan perubahan dan keadilan semakin kuat dan tidak boleh lagi disenyapkan melalui tindakan disiplin yang selektif.
“Ini bukan cara seorang pemimpin sejati menyelesaikan perbezaan dalaman. Kepimpinan yang kukuh seharusnya mengutamakan musyawarah, keterbukaan dan demokrasi bukan tindakan keras yang bertujuan melemahkan pencabar politik,” katanya.
Jumaat lepas, Hamzah bersama 16 lagi individu yang terdiri daripada pemimpin bahagian dan Ahli Parlimen dipecat keahlian mereka daripada BERSATU kerana didapati melanggar Perlembagaan parti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








