
Belanjawan MADANI 2026: Tumpu kesejahteraan rakyat dan kelestarian Wilayah Persekutuan
KUALA LUMPUR – Belanjawan MADANI Keempat Tahun 2026 disifatkan sebagai belanjawan kebangkitan nasional yang memberi tumpuan terhadap kelestarian dan kesejahteraan rakyat di Wilayah Persekutuan.
Menurut kenyataan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), belanjawan kali ini merupakan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan menjadi asas kepada pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Kerangka ekonomi MADANI memberi tumpuan kepada rakyat dengan memastikan negara berupaya menyediakan kemudahan, mencipta pekerjaan, menjana pendapatan serta mengurangkan kos sara hidup,” kata kenyataan JWP semalam.
Bagi Wilayah Persekutuan, pelbagai inisiatif diperkenalkan termasuk penggunaan dana dalaman berjumlah RM500 juta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti bandar.
“Daripada jumlah itu, RM200 juta diperuntukkan bagi pelanjutan Program Lestari Niaga untuk membantu peniaga kecil di ibu negara.
“Program ini bukan sahaja menyelesaikan isu peniaga tanpa lesen, malah mempertingkatkan kualiti kawasan perniagaan dan memperkukuh ekonomi setempat,” katanya lagi.
Sementara itu, baki RM300 juta digunakan bagi menaik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) termasuk kerja penyelenggaraan, pembaikan sistem pendawaian elektrik dan jalan bagi menjamin keselamatan penduduk.
Kenyataan itu turut berkata, RM15 juta diperuntukkan melalui inisiatif Ikhtiar Warisan KL bagi memulihara serta menghidupkan kembali nilai sejarah ibu kota.
“Antara komponen utama inisiatif itu ialah pembukaan semula Bangunan Seri Negara pada Disember 2025 sebagai pusat warisan dan budaya, pembinaan jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Taman Botani Perdana ke Carcosa Seri Negara, serta pembukaan semula Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad pada Februari 2026.,” katanya lagi.
Di Labuan, sektor pelancongan yang terkenal dengan pantai, sukan air dan tarikan sejarah akan diperkukuh melalui Pelan Tindakan Pelancongan 2025 dengan peruntukan RM3.5 juta bagi menjayakan pelbagai program pelancongan sepanjang tahun hadapan.
Manakala di Putrajaya, RM1 juta diperuntukkan bagi program Putrajaya Wave 2026, sekali gus memperkukuh imejnya sebagai pusat pelancongan moden dan destinasi sukan air antarabangsa.
Selain itu, projek Anjung Duta@15 di Presint 15 turut menerima peruntukan RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan penjaja melalui pembinaan bumbung Velaa Inverted Cone yang dijangka memberi keselesaan dan tarikan baharu kepada pengunjung.
Bagi memastikan pembangunan mampan di semua wilayah, tujuh projek baharu diluluskan di bawah Dasar Ekonomi Asas (DE Asas) Wilayah Persekutuan.
“Antara projek tersebut termasuk pembangunan semula Kompleks Renang Kuala Lumpur di Bandar Tun Razak, menaik taraf Kompleks Krematorium di Cheras, serta pelaksanaan projek mitigasi banjir dan banjir kilat oleh DBKL di beberapa kawasan Parlimen,” kata kenyataan itu lagi.
Di Labuan, dua projek utama telah diluluskan iaitu pembinaan Waterfront Labuan Fasa 1 dan kajian ekonomi kitaran, manakala di Putrajaya, kerja menaik taraf Taman Putra Perdana dan kawasan sekitar Istana Melawati akan dilaksanakan bagi menyokong pembangunan komuniti mampan.
Keselamatan awam di Putrajaya juga akan dipertingkat melalui penambahan kamera litar tertutup (CCTV) dan butang panik di bawah pelaksanaan Fasa 3.
Menurut JWP, pelaksanaan semua inisiatif ini mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan Wilayah Persekutuan kekal sebagai model bandar sejahtera dan mampan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








