Umur lebih 70 tahun tidak layak jadi PM tidak dituju kepada sesiapa – Abdul Hadi
ALOR SETAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan ketetapan bahawa calon Perdana Menteri mestilah berusia bawah 70 tahun tidak ditujukan kepada mana-mana individu tertentu.
Menurut beliau, kenyataan itu lebih kepada penegasan bahawa dirinya serta Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, tidak lagi layak menduduki jawatan berkenaan kerana faktor usia.
“Saya jawab kepada wartawan, orang umur 70 tahun ke atas macam saya dan Mursyidul Am tidak perlu lagi (jadi PM). Cari yang lebih muda, kuat dan gagah. Saya tujukan kepada diri saya, bukan orang lain, sama ada yang masih hidup atau sudah tiada.
“Pilihlah pemimpin yang memiliki ilmu, kebijaksanaan serta kekuatan untuk memajukan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan Pas ke-71 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi memberi jaminan bahawa kepimpinan negara kelak akan tetap diterajui seorang Islam dan Melayu, selaras dengan kedudukan agama serta bangsa yang menjadi teras tanah air.
Beliau turut mengingatkan agar semua calon yang tewas dalam pemilihan Pas Pusat kali ini memberikan kesetiaan penuh kepada kepimpinan baharu yang dipilih.
Katanya, sebarang masalah dalam soal kesetiaan boleh menjejaskan peluang Pas untuk menang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan sekaligus menghalang usaha parti untuk memimpin kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








