Ahli BERSATU buat aduan disiplin terhadap Muhyiddin
PUTRAJAYA – Seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengemukakan aduan disiplin rasmi kepada Lembaga Disiplin parti terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung dakwaan pelanggaran tatatertib parti yang disifatkan serius.

Pengadu, Hariz Faisal Ismail berkata, aduan itu dibuat susulan tindakan dan kenyataan Presiden, khususnya berkaitan sepucuk surat bertarikh 27 Januari 2026 yang dihantar kepada Presiden parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN), selain dakwaan penggunaan nama dan imej parti tanpa keputusan rasmi.
Menurutnya, laporan disiplin berkenaan dikemukakan atas rasa tanggungjawab sebagai ahli parti yang prihatin terhadap masa depan BERSATU, memandangkan beliau juga pernah memegang jawatan di peringkat Bahagian dan Nasional.
“Penafian yang dibuat menerusi surat Presiden PAS bertarikh 28 Januari 2026 telah menimbulkan kekeliruan besar, sekali gus mencemarkan kredibiliti, maruah serta imej institusi Presiden dan reputasi BERSATU secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dia berkata, tindakan tersebut bukan sahaja mengelirukan ahli parti, malah memberi persepsi negatif kepada rakyat serta rakan gabungan dalam PN.
Hariz turut mendakwa cadangan dan tindakan yang terkandung dalam surat berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan secara rasmi melalui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) atau Majlis Presiden, selain bercanggah dengan keputusan terdahulu parti.
Mengulas lanjut, dia menegaskan bahawa sebagai Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin terikat dengan Perlembagaan Parti, termasuk Fasal 22.1(c) berkaitan pelaksanaan dasar parti, Fasal 22.1(d) mematuhi arahan serta keputusan parti, dan Fasal 22.1(f) berhubung pemeliharaan nama baik serta maruah parti.
“Tiada mana-mana individu, termasuk Presiden, boleh berada di atas Perlembagaan Parti,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Hariz mendesak agar Lembaga Disiplin BERSATU menjalankan siasatan secara telus, menyeluruh dan tanpa pilih kasih, selain mengambil tindakan sewajarnya demi mempertahankan integriti serta kelangsungan parti.
“BERSATU tidak boleh dikendalikan melalui keputusan sepihak, penafian terbuka atau tindakan yang mencalar institusi parti sendiri. Disiplin mesti ditegakkan walau setinggi mana pun jawatan seseorang,” katanya lagi.
Dia turut berkata, isu tersebut bukan bersifat peribadi, sebaliknya melibatkan prinsip, disiplin dan masa depan parti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








