BERITA SEMASA

Orang ramai dinasihatkan tidak panik bunyi letupan meriam di Putrajaya

PUTRAJAYA – Orang ramai khususnya penduduk di sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya mendengar bunyi letupan meriam pada 3 dan 5 Jun ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, bunyi letupan itu adalah susulan tembakan meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia bersempena Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1.

Beliau berkata, sebanyak dua das tembakan meriam akan dilepaskan pada sesi raptai penuh yang dijadualkan bermula jam 8.30 pagi, Rabu ini.

“Bagi acara sebenar yang akan berlangsung pada Jumaat, 5 Jun, sebanyak 21 das tembakan meriam akan dilepaskan pada waktu yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya bersedia menghadapi kemungkinan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Katanya, kesesakan dijangka berlaku antara jam 7 pagi hingga 10 pagi di sekitar lokasi acara berlangsung.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak polis, merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button