MOF hentikan TTPKT, lulus tambahan RM500 juta untuk KKDW
KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) menghentikan kelulusan penggunaan Tender Terbuka Pra-Kelayakan (TTPKT) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi projek baharu susulan penemuan audit bahawa kaedah itu gagal mencapai objektif asal ditetapkan kerajaan.
Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 2/2025 mendapati pelaksanaan TTPKT, termasuk oleh KKDW tidak mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Sehubungan itu, MOF turut menghentikan kelulusan penggunaan TTPKT oleh KKDW bagi projek baharu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, MOF meluluskan peruntukan tambahan RM500 juta kepada KKDW selepas kementerian itu berbelanja melebihi peruntukan asal bagi projek jalan luar bandar.
Anwar berkata, dana tambahan itu diperoleh menerusi penjimatan perbelanjaan pembangunan kementerian lain.
Beliau berkata, MOF turut mengarahkan KKDW pada 10 September lalu supaya menggantung pengeluaran surat setuju terima (SST) baharu bagi projek jalan luar bandar bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat.
“KKDW telah membuat komitmen dan membelanjakan peruntukan melebihi jumlah asal yang diluluskan menerusi Belanjawan tahunan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menyebabkan tunggakan serta kelewatan pembayaran kepada kontraktor,” katanya.
Menurutnya, kerajaan meningkatkan peruntukan tahunan bagi projek jalan luar bandar kepada lebih RM2 bilion menerusi Belanjawan 2026 dan Belanjawan 2027, namun jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung komitmen kontrak sedia ada KKDW.
Sehubungan itu, MOF meminta KKDW menyediakan unjuran keperluan pembiayaan sehingga akhir tahun ini dan sepanjang 2027 berdasarkan kontrak yang telah diberikan bagi menentukan jumlah tambahan dana diperlukan.
Anwar menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab berhubung dakwaan pelanggaran prosedur kewangan membabitkan perbelanjaan melebihi peruntukan berjumlah RM2.1 bilion antara 2023 hingga 2025.
Mengenai pelantikan kontraktor, beliau berkata, projek jalan luar bandar lazimnya dilaksanakan menerusi proses tender, termasuk tender terbuka dan TTPKT yang diperkenalkan MOF pada 2023 sebagai prosedur khas bagi mempercepat pelaksanaan projek.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







