Belanjawan 2026: 8.14 juta penduduk luar bandar akan dipastikan tidak tercicir arus pembangunan negara – KKDW
PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyambut baik dan amat menghargai inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan Madani Keempat, Belanjawan Rakyat’.
Menurutnya dalam satu kenyataan, ia memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh asas ekonomi negara yang inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.
“Ia bukan sekadar dokumen fiskal tetapi manifestasi kesungguhan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk 8.14 juta penduduk luar bandar, tidak tercicir daripada arus kemajuan negara.
“Kementerian merakamkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri untuk peruntukan berjumlah RM12.4 bilion, meningkat sebanyak RM0.44 bilion atau 3.69 peratus berbanding tahun 2025.
“Daripada jumlah tersebut, RM4.61 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala RM7.78 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, melibatkan pelaksanaan pelbagai program strategik berimpak tinggi di seluruh negara,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, di bawah peruntukan pembangunan, sebanyak RM3.3 bilion di peruntuk untuk projek prasarana asas desa, RM2.5 bilion bagi membina dan membaiki jalan kampung serta jalan perhubungan desa.
Katanya, lebih RM700 juta pula untuk membekal air bersih dan elektrik termasuk pemasangan panel solar hibrid di kampung kecil Sabah dan Sarawak yang memberi manfaat kepada 3,200 rumah.
“Hampir RM90 juta diperuntukan bagi pelaksanaan projek jambatan, pemasangan lampu jalan kampung
yang lebih cekap tenaga dan solar.
“Langkah ini bukan sahaja menjimatkan tenaga dan kos penyelenggaraan, tetapi juga menyokong Dasar Tenaga Negara 2022–2040 ke arah tenaga mampan dan hijau,” katanya.
Selain itu, katanya, sebanyak RM50 juta disalurkan kepada MARA untuk menaik taraf lebih 363 premis perniagaan MARA seluruh negara, memberi manfaat kepada lebih 7,300 usahawan.
“Selain itu, Program Penskalaan Usahawan Bumiputera MARA turut menyediakan RM100 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat pemula dalam sektor strategik bernilai tinggi.
“Langkah ini akan memperkasa ekonomi desa, meningkatkan keterhubungan, membuka akses ekonomi dan mempercepat transformasi desa sebagai pusat pertumbuhan baharu negara,” katanya.
Selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI, KKDW amat menyokong usaha yang dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat dengan memperuntukkan sebanyak RM436.13 juta untuk Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat.
Menurutnya, ia merangkumi Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), Program Bina Insan (PBI) dan Program Komuniti Sejahtera (PKS).
“Selain itu, Belanjawan 2026 telah memperuntukkan RISDA, FELCRA Berhad dan FELDA yang menjadi tonggak sosioekonomi luar bandar sebanyak hampir RM2.4 bilion untuk terus melindungi lebih 720,000 peneroka, pekebun kecil serta keluarga,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








