IKONDESA: ‘Game changer’ KKDW perkasa usahawan PMKS
PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkenalkan Projek IKONDESA sebagai pemangkin baharu dalam memperkasa ekosistem keusahawanan desa, sekali gus dianggap sebagai ‘game changer’ dalam usaha melonjakkan penyertaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, produk desa tidak boleh terus terperangkap di kampung halaman sebaliknya perlu diangkat, diketengah dan dipasarkan ke seluruh dunia.

“Merujuk data tahun 2024, PMKS telah menyumbang sebanyak RM652.4 bilion atau 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
“Namun daripada 1.08 juta PMKS di Malaysia, 70.1 peratus masih berada dalam kategori mikro, manakala hanya 1.6 peratus sahaja yang dikategorikan sebagai sederhana.
“Di bawah ekosistem KKDW, terdapat sekitar 55 ribu PMKS. Daripada jumlah itu, hampir 60 peratus berpendapatan kurang RM60 ribu setahun, sementara hanya 0.1 peratus berjaya mencecah kategori sederhana.
“Angka ini membuktikan walaupun PMKS desa menjadi penyumbang besar ekonomi, mereka masih perlu diperkasa untuk melonjak lebih jauh,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran IKONDESA di Souq Putrajaya, hari ini.

Beliau selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementeriannya telah membina ekosistem lengkap untuk membantu usahawan desa daripada syarikat pemula kecil hingga yang berjaya menembusi pasaran eksport.
“Tahun ini sahaja sebanyak RM360.36 juta dilaburkan untuk 77 program pembangunan usahawan yang memberi manfaat kepada lebih 27,300 usahawan dan bakal usahawan di seluruh negara.
“Antara platform yang diwujudkan termasuk Desa Mall, Karnival Usahawan Desa, Karnival Usahawan Orang Asli, program Gate to Global serta RISSMart.
“IKONDESA pula hadir sebagai wajah baharu yang membuktikan KKDW tidak bergerak secara rutin, tetapi mahu memimpin perubahan dengan pendekatan kreatif, menyeluruh dan berimpak tinggi,” jelas beliau.

Melalui IKONDESA, pusat jualan fizikal diwujudkan di bandar-bandar utama, bermula dengan IKONDESA@Putrajaya yang kini beroperasi di Souq Putrajaya dan diikuti di Anggerik Mall, Shah Alam.
Ia menampilkan tiga kluster utama iaitu kraf tangan, gaya hidup serta makanan dan minuman.
“IKONDESA bukan sekadar tempat membeli produk tetapi pentas untuk merasai budaya, warisan dan kreativiti anak desa.

“Setiap bulan tema negeri akan dipamerkan bermula dengan Negeri Perak pada bulan ini,” katanya lagi.
Ahmad Zahid yakin IKONDESA akan muncul sebagai mercu tanda baharu dan bukti kesungguhan kerajaan dalam memperluas pasaran produk desa kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








