Belanjawan 2026: PM taruh harapan kejayaan usaha damai diterajui AS, Mesir dan Qatar di Palestin
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyambut baik dan menaruh harapan terhadap usaha damai yang diterajui Amerika Syarikat bersama Mesir dan Qatar bagi memastikan rundingan antara Hamas dan Israel membuahkan hasil.
Perdana Menteri berkata, langkah itu diharapkan dapat menjamin kebebasan serta kemerdekaan rakyat Palestin.
“Parlimen Malaysia juga merakamkan penghargaan setingginya atas usaha murni para sukarelawan yang menunjukkan kecekalan membelah samudera melalui ikhtiar Sumud Nusantara Flotilla yang pastinya telah mencelikkan dunia tentang keperluan mengangkat nilai kemanusiaan dan menegak keadilan.
“Dunia pasca-Gaza menuntut keberanian moral dan kebijaksanaan diplomasi untuk membina ufuk baharu yang menjanjikan keamanan, keadilan dan kemanusiaan sejagat,” katanya ketika berucap dalam Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat petang ini.
Mengulas lanjut, katanya, Malaysia buat julung kalinya menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN bersama Negara-Negara Teluk (GCC) dan China, di samping berjaya meredakan konflik Kemboja-Thailand serta membuka jalan penyertaan penuh Timor Leste sebagai anggota ASEAN.
“Dalam sejarah peradaban manusia, bangsa yang kekal adalah bangsa yang tahu memelihara maruah sambil bersikap terbuka kepada dunia atau mana-mana blok ekonomi atau kuasa, dan keras menyanggah kezaliman tanpa menolak hikmah, serta menginsafi bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada keteguhan moral serta prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat.
“Kini, ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN 2025, kita berdepan percaturan kuasa dan tragedi kemanusiaan di Gaza akibat kezaliman Zionis Israel,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








