BERITA SEMASA

KKM sedia tamatkan kontrak kontraktor ‘projek sakit’

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan teragak-agak menamatkan kontrak kontraktor yang gagal menunjukkan kemajuan fizikal meyakinkan bagi projek pembangunan fasiliti kesihatan yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan tegas itu perlu bagi mengelakkan kelewatan tidak munasabah selain memastikan peruntukan kesihatan negara tidak dibazirkan.

“KKM tidak akan berkompromi dengan kelewatan yang tidak munasabah. Bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat, kita tidak akan teragak-agak menamatkan kontrak kontraktor yang gagal menunjukkan kemajuan fizikal yang meyakinkan di tapak,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) KKM Bilangan 2 Tahun 2026 yang turut dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kewangan.

Menurut Dr Dzulkefly, tumpuan utama KKM adalah memantau lebih 1,300 projek pembangunan fasiliti kesihatan di seluruh negara bagi memastikan perancangan yang dibuat dapat diterjemahkan kepada manfaat segera untuk rakyat.

Katanya, setakat Ogos ini, sebanyak 10 fasiliti kesihatan utama telah siap, termasuk Pusat Darah Wilayah Utara di Kedah, Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Negeri Sembilan dan Klinik Kesihatan Manjoi di Perak.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 268 projek di bawah inisiatif Cakna MADANI telah disiapkan, bersamaan 37.75 peratus.

Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan memberi manfaat kepada rakyat menerusi penambahbaikan klinik desa, peningkatan kapasiti pusat hemodialisis serta penggantian peralatan kesihatan yang telah usang.

Dr Dzulkefly berkata, KKM turut bekerjasama rapat dengan JKR, kerajaan negeri dan syarikat utiliti bagi menyelesaikan masalah yang menjadi punca kelewatan projek di peringkat akar umbi.

“Saya mahu pastikan setiap perancangan ini bukan hanya cantik di atas kertas, tetapi manfaatnya mesti segera sampai kepada rakyat di bawah,” katanya.

Beliau menegaskan, setiap peruntukan kesihatan negara perlu diterjemahkan kepada sistem penjagaan kesihatan yang lebih saksama, moden dan selesa untuk rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button