Tiada lagi alasan, projek ‘sakit’ mesti disegerakan – PM
PONTIAN – Projek infrastruktur yang lewat atau berstatus ‘sakit’ tidak boleh lagi diberikan alasan berpanjangan, sebaliknya perlu disegerakan demi kepentingan rakyat, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, teguran terhadap mana-mana projek yang ‘lembap’ adalah berasas memandangkan rakyat menantikan penambahbaikan untuk dimanfaatkan mereka dan bukannya perlu menghadap pelbagai alasan.
“Projek yang lewat atau berstatus sakit perlu disegerakan tanpa bergantung kepada lanjutan masa yang hanya menambah beban kepada rakyat dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook milik beliau.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan merasmikan majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pontian, semalam.
Menurut Anwar, pihak berkaitan perlu lebih proaktif termasuk menambah baik kaedah pelaksanaan, memilih kontraktor yang benar-benar berkeupayaan serta memperketat pemantauan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, majlis pecah tanah itu bertepatan dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk mempercepat pelaksanaan infrastruktur asas di peringkat daerah serta memastikan kemudahan kesihatan dapat dinikmati masyarakat dengan lebih cepat dan cekap.
Sehubungan itu, Anwar turut mengarahkan projek berkenaan dimasukkan sebagai projek ‘fast-track’ di bawah penyelarasan Kementerian Kesihatan bagi memastikan pembinaan berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Insya-Allah, inilah antara usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara dan memastikan perkhidmatan perubatan lebih selesa serta berdaya saing untuk rakyat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








