PM zahir takziah pemergian bekas Menteri Luar Iran, Dr Kamal Kharazi
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian bekas Menteri Luar Iran, Dr Kamal Kharazi yang dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami susulan serangan rejim Zionis.
Anwar berkata, beliau mengenali Dr Kharazi sejak tokoh diplomatik itu berkhidmat sebagai wakil Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan persahabatan mereka berterusan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Menteri Luar Iran.
“Beliau seorang yang memiliki ilmu yang luar biasa serta keperibadian yang hebat. Sentiasa berfikiran mendalam dan bersikap budiman,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Perdana Menteri, pemergian Dr Kharazi merupakan satu kehilangan besar kepada dunia diplomasi, selain memberi kesan peribadi yang mendalam kepada beliau sendiri.
“Dunia telah kehilangan seorang diplomat yang luar biasa dan saya kehilangan seorang sahabat yang dikasihi,” ujarnya.
Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh rakyat Iran atas kehilangan tersebut, sambil menegaskan bahawa tragedi itu mencerminkan harga mahal yang terpaksa dibayar akibat konflik yang berterusan di rantau berkenaan.
“Pemergian ini menjadi peringatan terhadap kos kemanusiaan yang amat dahsyat akibat konflik ini. Peperangan ini mesti dihentikan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















