BERITA SEMASAPMX

Anwar sifatkan Prabowo teman setia ketika susah senang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sebagai teman setia ketika susah dan senang.

Menurut Perdana Menteri, beliau menganggap Prabowo sebagai ahli keluarga sendiri selepas hubungan peribadi yang terjalin selama puluhan tahun.

“Saya sempat menghimbau nostalgia hubungan peribadi menjangkau puluhan tahun dengan Presiden Prabowo, yang telah saya anggap sebagai keluarga saya sendiri.

“Bapak Prabowo adalah antara teman setia yang sentiasa mengambil berat seeaktu tempoh duka lara saya yang panjang dan berliku.

“Umpama petikan puisi Chairil Anwar, ‘binatang jalang dari kumpulannya terbuang’ namun masih ada sahabat yang setia,” kata Anwar dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau.

Terdahulu, Prabowo mengadakan pertemuan tertutup bersama Anwar di Menara Berkembar Petronas sempena lawatan Prabowo ke Malaysia yang berakhir semalam.

Sementara itu, Anwar berkata, persahabatan dan kerjasama erat Malaysia-Indonesia perlu diperluas serta dipertingkatkan bagi melonjakkan keupayaan kedua-dua negara.

Beliau berkata, kerjasama itu termasuk dari segi ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan, penyelidikan, teknologi makanan, industri hiliran, tenaga, pertahanan dan seumpamanya.

“Malaysia dan Indonesia yang punya sejarah, bahasa dan budaya yang sangat dekat dan harus memanfaatkan segala kekuatan untuk melonjakkan keupayaan kedua-dua negara,” katanya kenyataan sama.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pertemuan antara delegasi Malaysia dan Indonesia semalam turut mencapai persefahaman untuk merungkai isu tertunggak seperti sempadan dan tenaga kerja dalam semangat persahabatan.

“Ini termasuk kerjasama yang disentuh dalam mesyuarat hari ini membabitkan PETRONAS dan PERTAMINA, dua syarikat gergasi di rantau ini yang boleh menyelaras kesepakatan dalam penerokaan dan bidang perniagaan baharu,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button