BERITA SEMASA

KPM kaji kemungkinan luaskan program sekolah terapung

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengkaji kemungkinan untuk meluaskan program sekolah terapung yang kini dilaksanakan di penempatan Orang Asli dan komuniti terpencil di beberapa negeri.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, konsep berkenaan sudah dilaksanakan di negeri yang mempunyai komuniti terpencil, termasuk Perak, Kelantan dan Sabah, membabitkan jumlah keseluruhan 246 murid.

Sehubungan itu, katanya, terdapat potensi konsep sekolah berkenaan dikembangkan ke kawasan pedalaman lain sekiranya terdapat keperluan, kesediaan komuniti dan kesesuaian geografi yang mengizinkan.

“KPM melihat program sekolah terapung sebagai model pendidikan kreatif dan inovatif atas prinsip mencari penyelesaian keperluan setempat.

“Kementerian kekal beriltizam memastikan tiada murid tercicir dan setiap kanak-kanak menerima akses pendidikan yang relevan serta berkesan selaras aspirasi Pendidikan MADANI,” katanya pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Fadhlina berkata demikian menjawab soalan S Kesavan (PH-Sg Siput) mengenai pelaksanaan sekolah terapung di Hulu Perak serta perancangan KPM untuk memperluaskan inisiatif itu.

Mengenai pelaksanaan sekolah terapung di Hulu Perak pula, Fadhlina berkata, program itu di Tasik Banding diperkenalkan sebagai inisiatif bawah program khas pendidikan manusiawi dalam menyelesaikan masalah murid menghadapi cabaran jarak, demografi, rintangan pengangkutan dan tiada keperluan asas untuk ke sekolah.

“Program yang bermula 13 Oktober lalu itu beroperasi menggunakan rumah rakit sebagai ruang pembelajaran mudah alih.

“Ia memberi tumpuan kepada murid Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman dan penempatan sekitar Tasik Banding dan Tasik Temenggong di Grik, Perak.

“Ketika ini, seramai 48 murid bersekolah di sana membabitkan pelajar berusia antara enam hingga 16 tahun.

“Pembelajaran di sekolah ini menggunakan pendekatan yang sesuai dengan konteks pembelajaran komuniti yang didukung oleh Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Perak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak serta agensi berkaitan yang meliputi penyediaan latihan khas kepada guru dalam memastikan kaedah pembelajaran yang diberikan relevan dengan kehidupan setempat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button