BERITA SEMASA

37 kes tibi dikesan, libatkan 29 kanak-kanak dan 8 dewasa – Menteri Kesihatan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 37 kes penyakit Tuberkulosis (tibi) melibatkan 29 kanak-kanak dan lapan orang dewasa telah dikenal pasti yang dikesan sejak 25 Januari lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemunculan semula penyakit berjangkit di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes berkenaan perlu dilihat sebagai satu peringatan serius kepada semua pihak agar tidak memandang ringan ancaman penyakit berjangkit, khususnya dalam komuniti berisiko tinggi.

“Kes ini sebenarnya menjadi satu contoh penting atau wake-up call yang membangunkan dan menyedarkan kita tentang apa yang saya sebut sebagai kemunculan semula penyakit-penyakit berjangkit.

“Kejadian ini berlaku pada satu lokasi dan bermula pada 25 Januari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Perikatan Nasional) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, kluster berkenaan mempunyai kes indeks melibatkan seorang wanita warga Malaysia berusia sekitar 72 tahun yang merupakan guru agama dan guru al-Quran, yang berinteraksi secara langsung dengan anak-anak murid daripada pelbagai peringkat umur, kumpulan dan sesi pembelajaran.

Sehingga 7 Februari, sebanyak 36 daripada 37 kes tersebut dikesan melalui kaedah Active Case Detection (ACD) hasil pengesanan kontak rapat, ujian saringan serta siasatan lapangan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

BACA JUGA:

Jangkitan tibi di Selangor terkawal

Satu kes tibi dikesan, babitkan murid sekolah di Pontian

Kerajaan negeri sahkan penularan tibi di sebuah sekolah di Kota Tinggi

Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 903 kontak rapat telah dikenal pasti dan menjalani saringan penyakit tibi sekali gus mengimbau kembali kebimbangan terhadap penularan penyakit berjangkit pasca pandemik COVID-19.

Semua kes yang dikenal pasti telah memulakan rawatan dan dipantau melalui kaedah Directly Observed Therapy (DOT) secara harian di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Individu yang menunjukkan simptom diberikan rawatan segera, manakala kes tibi laten iaitu individu yang tidak menunjukkan gejala tetapi positif ujian, turut dipantau dan dirawat bagi mencegah jangkitan aktif,” katanya.

Beliau menjelaskan, tibi laten dikenal pasti melalui ujian Interferon Gamma Release Assay (IGRA) yang membolehkan pengesanan sama ada seseorang individu pernah terdedah kepada bakteria Mycobacterium tuberculosis dalam tempoh kira-kira empat jam.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly memaklumkan, sebanyak 10 kluster tibi masih aktif di seluruh negara sehingga 7 Februari lalu.

Selangor mencatatkan bilangan kluster tertinggi dengan empat kluster melibatkan 10 kes, diikuti Johor dengan satu kluster melibatkan 37 kes.

Katanya, kluster lain turut dilaporkan di Kedah, Kelantan dan Perlis dengan masing-masing dua kes, Pahang empat kes, serta Sabah lima kes.

Beliau berkata, bagi institusi berisiko tinggi seperti sekolah berasrama, penjara dan asrama pekerja, saringan dilaksanakan mengikut Manual Tuberculosis Information System (TBIS) 2018 yang merangkumi pengenalpastian, penilaian dan pemeriksaan kontak rapat.

“Saringan simptom termasuk batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan dan penurunan berat badan, diikuti pemeriksaan klinikal dan x-ray paru-paru serta pemeriksaan kahak melalui mikroskopi dan kultur,” katanya.

Dr. Dzulkefly menegaskan, individu yang disahkan menghidap tibi akan diberikan rawatan awal anti-tibi, manakala kontak rapat yang tidak dijangkiti akan disaring bagi mengesan jangkitan tibi atau tibi laten dan diberikan rawatan pencegahan.

“Rawatan dipantau melalui kaedah DOT secara harian di fasiliti kesihatan berhampiran. Orang ramai yang bergejala juga dinasihatkan mengamalkan etika batuk bagi mengurangkan risiko penularan,” katanya.

Tambah beliau, KKM akan terus mempergiat usaha pengesanan, saringan dan rawatan awal bagi membendung penularan penyakit tibi serta memastikan keselamatan kesihatan awam terus terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button