BERITA SEMASA

Korban rabies pertama tahun ini, lelaki 44 tahun meninggal dunia di Sarawak

PUTRAJAYA – Seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun menjadi korban pertama jangkitan rabies di negara ini bagi tahun 2026 selepas meninggal dunia pada 25 Februari lalu di Kota Samarahan, Sarawak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai sejarah digigit haiwan, namun dilaporkan gemar memberi makan anjing liar serta memelihara kira-kira 15 ekor anjing.

Menurutnya, seekor daripada haiwan peliharaan mangsa juga dilaporkan mati secara mengejut pada awal Februari lalu.

“Kes ini mengingatkan bahawa jangkitan rabies tidak semestinya berlaku akibat gigitan yang jelas. Jangkitan juga boleh terjadi melalui sentuhan rapat, cakaran atau pengendalian bangkai haiwan yang dijangkiti tanpa perlindungan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Beliau berkata, sejak wabak rabies diisytiharkan pada 2017, sebanyak 91 kes dilaporkan di negara ini dengan 84 daripadanya membawa maut, iaitu kadar kematian sekitar 93 peratus.

Situasi itu menunjukkan penyakit rabies masih menjadi ancaman serius kesihatan awam dan memerlukan kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat.

Dzulkefly turut berkata, pendekatan “One Health” yang mengiktiraf hubungan rapat antara kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.

“Apabila salah satu elemen tersebut terjejas, risiko penularan penyakit juga akan meningkat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan segera mencuci luka gigitan atau cakaran menggunakan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit.

Masyarakat juga disaran mendapatkan rawatan Post-Exposure Prophylaxis (PEP) dengan segera selain memastikan haiwan peliharaan menerima vaksin tahunan.

Selain itu, orang ramai diminta melaporkan sebarang kematian haiwan yang mencurigakan kepada pihak berkuasa atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta pihak berkuasa tempatan.

Kes kematian terbaharu itu menjadi peringatan kepada masyarakat agar sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan rabies yang boleh membawa maut jika tidak dirawat awal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button