BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Produk kosmetik, suplemen tanpa kelulusan KKM dirampas

KUALA LUMPUR – Polis merampas pelbagai produk kosmetik dan makanan tambahan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam serbuan di dua unit kediaman di Segambut, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan di premis pertama membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun serta dua wanita warga asing berusia 28 dan 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi merampas 1,972 kotak dan 2,551 botol pelbagai produk kosmetik serta makanan tambahan yang tidak mempunyai kelulusan KKM,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, suspek lelaki yang juga pemilik premis kemudiannya membawa pasukan polis ke kediaman kedua di lokasi berasingan yang menyimpan 180 kotak dan 895 botol produk yang turut tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM185,515,” jelasnya.

Operasi khas itu turut disertai pegawai penguat kuasa KKM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memutuskan rangkaian pengedaran produk kesihatan dan pemakanan tidak sah serta membanteras ancaman terhadap keselamatan dan kesihatan pengguna.

Kes disiasat di bawah Peraturan 18A dan Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, manakala DBKL mengeluarkan notis di bawah Seksyen 26(1)(a) Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana menukar kegunaan premis kediaman kepada pusat dagangan tanpa kebenaran.

Azmi turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan bijak dalam memilih produk kesihatan dengan memastikan ia mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

“Polis turut memberi amaran kepada pengendali platform media sosial dan dagangan dalam talian agar memantau serta mengawal penjualan produk agar tidak melibatkan barangan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 167 serbuan telah dijalankan dari Januari hingga 16 Julai lalu dengan 300 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-sisa.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam tempoh tersebut dianggarkan melebihi RM541 juta. Polis komited untuk mempergiat risikan serta operasi bagi menjejaki dan membanteras kegiatan haram ini demi keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button