Kerangka kemahiran bantu sektor komunikasi hadapi impak AI – Fahmi
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memberi tumpuan kepada usaha membangunkan rangka perundangan khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara positif dan bertanggungjawab.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha tersebut sedang dipelopori oleh Kementerian Digital dan merupakan antara perkara penting yang diberi perhatian di peringkat Jemaah Menteri.
Menurutnya, Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) yang dilancarkan pada Ahad bukan bertujuan mengawal selia teknologi AI, sebaliknya menjadi panduan kepada sektor-sektor berkaitan dalam menghadapi perubahan landskap pekerjaan akibat penggunaan teknologi berkenaan.
“Ini bukan tentang AI semata-mata, tetapi mengenai sektor-sektor di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), khususnya penyiaran, telekomunikasi serta pos dan kurier.
“Ia memberi panduan mengenai perkara yang perlu diberi perhatian oleh sektor-sektor ini berkaitan tenaga kerja serta kemungkinan kesan penggunaan AI terhadap penilaian dan perancangan jangka panjang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) dan Inisiatif Pembangunan Bakat Strategik di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Fahmi berkata, kerangka tersebut juga penting bagi membantu syarikat dalam sektor komunikasi dan multimedia memahami keperluan tenaga kerja masa depan, termasuk melibatkan lepasan universiti serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Sektor telekomunikasi misalnya masih memerlukan tenaga kerja berkemahiran teknikal bagi pembangunan infrastruktur seperti pembinaan menara telekomunikasi dan rangkaian gentian optik.
“Memang terdapat pekerjaan yang memerlukan kemahiran teknikal dan kita perlu memastikan syarikat-syarikat dalam sektor ini memahami jumlah tenaga kerja yang dihasilkan oleh institusi TVET dan institusi pengajian tinggi.
“Di pihak kerajaan, kita akan berusaha memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan supaya syarikat-syarikat dalam sektor ini mampu mengambil dan menggajikan lebih ramai anak muda,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








