BERITA SEMASA

Malaysia tekankan etika, privasi dalam penggunaan AI – Gobind

KUALA LUMPUR – Malaysia komited memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam keselamatan siber mematuhi prinsip etika dan hak privasi rakyat, seiring usaha menyeimbangkan keperluan keselamatan dengan kebebasan individu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, hubungan AI dengan keselamatan siber bersifat dua hala kerana teknologi itu bukan sahaja mempercepat pengesanan ancaman serta menganalisis pola serangan yang rumit, tetapi juga berisiko disalah guna untuk menghasilkan ancaman baharu seperti deepfake dan automated malware.

“Kerajaan menerusi aspirasi AI Nation 2030 memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem AI yang beretika, berdaya tahan dan berpaksikan privasi rakyat. Pelan Tindakan AI Kebangsaan yang sedang dimuktamadkan pula menetapkan rangka tadbir urus jelas bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan dan hak privasi dapat dijamin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, pelan tersebut menekankan aspek ketelusan dan akauntabiliti, perlindungan privasi serta keselamatan sejak peringkat rekabentuk sistem selain mengekalkan kawalan manusia bagi mengelak kesilapan kritikal dan diskriminasi.

Gobind berkata, pembangunan pelan itu turut mengambil kira inisiatif perundangan sedia ada termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Akta Keselamatan Siber 2024.

Di peringkat serantau, Malaysia menyokong ASEAN AI Governance and Ethics Principles yang menekankan prinsip keselamatan, integriti, akauntabiliti, ketelusan dan hak privasi.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga menerajui penubuhan ASEAN AI Safety Network bagi membangunkan rangka kerja keselamatan AI serantau, standard piawaian, program pembinaan kapasiti serta promosi amalan penggunaan teknologi yang selamat dan bertanggungjawab.

Pada masa sama, Malaysia turut memimpin penyediaan ASEAN Cybersecurity Cooperation Strategy 2026–2030 bagi menghadapi cabaran keselamatan siber akibat perkembangan teknologi AI.

“Pendekatan Malaysia jelas. Kita mahu AI digunakan untuk memperkukuh keselamatan siber, memelihara hak privasi rakyat dan meningkatkan kepercayaan. AI bukan sekadar teknologi, tetapi amanah yang perlu diurus secara beretika, selamat dan berpaksikan manusia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS–Sri Aman) yang meminta penjelasan berhubung langkah kerajaan memastikan penggunaan AI dalam keselamatan siber menepati prinsip etika dan hak privasi seperti yang turut ditekankan ASEAN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button