KPKM Dunia Agro+ perkasa 200 usahawan agro tembusi pasaran digital
PUTRAJAYA – Seramai 200 usahawan asas tani bakal diperkasa menerusi program KPKM Dunia Agro+ yang dilancarkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Shopee Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, inisiatif baharu ini bagi memperluas capaian pasaran usahawan agro melalui platform e-dagang.
Menurut beliau, inisiatif itu menyasarkan usahawan dalam kategori makanan, minuman, snek serta produk segar untuk dibekalkan kemahiran digital dan literasi kewangan bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Shopee akan memainkan peranan penting menerusi inisiatif ShopeeRaiLokal dengan memanfaatkan ekosistem serta kepakaran platform tersebut dalam membantu peniaga yang baharu beralih ke perdagangan digital,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Nik Din berkata, pihaknya komited menyediakan latihan berstruktur kepada peserta melalui Shopee Universiti.
“Melalui latihan serta bimbingan penggunaan peranti bagi penstriman langsung, kami menyasarkan untuk membantu usahawan membina kemahiran digital dan menjangkau lebih ramai pengguna secara terus,” katanya lagi.
Beliau berkata, kerjasama tersebut juga menjadi langkah penting dalam memodenkan rantaian bekalan serta memperkukuh pertumbuhan digital sektor pertanian negara.
“Program KPKM Dunia Agro+ memberi tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu latihan dan pembangunan kapasiti, pendigitalan serta pakej sokongan penjual.
“Peserta akan dibimbing dalam aspek penstriman langsung, pengoptimuman penyenaraian produk dan strategi jualan dalam talian, selain digalakkan memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan interaksi bersama pelanggan,” katanya lagi.
Foong Hin turut memaklumkan, pakej sokongan berstruktur bernilai RM320,000 disediakan bagi membantu peserta memperkukuh kehadiran di platform Shopee, termasuk meningkatkan keterlihatan kedai dan menarik lebih ramai pembeli.
Mengulas lanjut, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta amat penting bagi memastikan usahawan tempatan tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama untuk melengkapkan usahawan dengan kemahiran yang relevan dalam persekitaran perniagaan moden,” katanya lagi.
Program tersebut turut selari dengan Dasar Keselamatan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 30 Januari lalu, dalam usaha membina ekosistem agromakanan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








