BERITA SEMASA

Pemergian Syed Muhammad Naquib Al-Attas kehilangan besar dunia akademik – KPT

PUTRAJAYA – Pemergian Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia akademik dan peradaban ilmu, khususnya dalam bidang pemikiran serta tamadun Islam.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham yang meninggal dunia semalam.

Menurut kementerian itu, Allahyarham dikenali sebagai seorang sarjana ulung yang telah memberikan sumbangan amat besar dalam pembangunan tradisi keilmuan Islam serta pembinaan kerangka intelektual berteraskan nilai dan pandangan alam Islam.

“Allahyarham turut terlibat dalam penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta mengasaskan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) pada tahun 1987 yang menjadi pusat rujukan penting dalam pengajian tamadun serta pemikiran Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dilahirkan pada tahun 1931, Allahyarham merupakan tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani di dalam dan luar negara.

Antara sumbangan terbesar beliau adalah memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang memberi pengaruh besar dalam wacana pemikiran Islam moden serta dalam pembinaan sistem pendidikan berteraskan nilai-nilai Islam.

Gagasan tersebut merangkumi pelbagai cabang keilmuan termasuk falsafah, teologi, sejarah, metafizik, bahasa, sastera dan seni.

Menurut KPT lagi, Allahyarham turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta menyumbang dalam merencana dasar, falsafah dan identiti universiti berkenaan.

Sebagai pengiktirafan Kerajaan MADANI terhadap sumbangan besar beliau kepada dunia akademik dan ketamadunan, Allahyarham telah dikurniakan gelaran Profesor Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong pada 23 Oktober 2024.

Pengurniaan itu menjadikan beliau Profesor Diraja kedua negara selepas Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang menerima pengiktirafan sama pada tahun 1978.

KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa, pemikiran dan legasi intelektual yang ditinggalkan Allahyarham yang akan terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi sarjana, ilmuwan serta mahasiswa dalam memartabatkan budaya ilmu dan memperkukuh pembangunan intelektual negara.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh. Al-Fatihah,” tambah kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button