Kerajaan tanggung lebih RM700,000 kos pengecualian caj MyKad rosak
PUTRAJAYA – Kerajaan menanggung kos berjumlah RM714,660 bagi pengecualian caj penggantian cip MyKad rosak yang dilaksanakan bermula hari ini sehingga 7 Oktober ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu dianggarkan berdasarkan purata 40,000 permohonan penggantian MyKad sebulan.
“Kalau kita ketepikan bayaran sebanyak 10 peratus, kita tolak balik, ini menyebabkan kerajaan menanggung kos berjumlah RM714,660,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi di Ibu Pejabat JPN di sini, hari ini susulan pengumuman pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) hujung bulan ini.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pengecualian caj RM10 bagi penggantian MyKad rosak, sekali gus membolehkan orang ramai menukarnya tanpa bayaran sepanjang tempoh berkenaan.
Mekanisme tuntutan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95 akan menggunakan MyKad sebagai kaedah pengesahan utama di stesen minyak.
Langkah itu memastikan hanya warganegara dengan lesen memandu sah yang disahkan melalui rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) layak menikmati subsidi.
Selain itu, pengguna turut diberikan pilihan menggunakan aplikasi Setel atau Touch ‘n Go bagi melengkapkan transaksi tanpa perlu mengimbas MyKad.
Dalam pada itu, Saifuddin turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan tempoh masa yang telah ditetapkan bagi memastikan cip MyKad mereka benar-benar berfungsi.
“Jika didapati cip rosak, segera hadir ke Pejabat Pendaftaran Negeri. Bagi permohonan dalam tempoh hari ini hingga 7 Oktober, penggantian cip MyKad tidak dikenakan bayaran,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








