BERITA SEMASADALAM NEGERI

462 pegawai polis terima Anugerah Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis 2024

KUALA LUMPUR – Seramai 462 pegawai polis menerima Anugerah Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) bagi tahun 2024 dalam satu majlis penuh istiadat yang diadakan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini semalam.

Majlis berkenaan merupakan penganugerahan julung-julung kali diadakan di lokasi tersebut, menyaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyempurnakan penyampaian anugerah bagi pihak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Saifuddin bergambar bersama sebahagian penerima anugerah pada majlis tersebut yang turut dihadiri Razarudin.

Sebelum ini, seramai 600 pegawai polis telah dipilih untuk menerima anugerah tersebut. Daripada jumlah itu, 100 pegawai telah menerima darjah kebesaran masing-masing pada 30 Oktober 2024 di Istana Negara, manakala baki selebihnya dikurniakan pada majlis semalam.

Lima jenis anugerah telah disampaikan iaitu Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP), Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP), Pahlawan Pasukan Polis (PPP), Kesatria Pasukan Polis (KPP) dan Bentara Pasukan Polis (BPP).

“Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap keberanian, kecekalan dan kesetiaan pegawai polis dalam mempertahankan keselamatan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau turut menegaskan setiap pingat yang disemat menyimpan kisah pengorbanan luar biasa termasuk berdepan risiko, meninggalkan keluarga dan teguh berdiri demi amanah yang dipikul.

Bagi pihak Kerajaan MADANI, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penerima serta menyifatkan anugerah itu sebagai pemangkin semangat untuk terus berbakti dan memberi inspirasi kepada anggota lain agar terus cemerlang dalam tugasan.

Turut hadir pada majlis penganugerahan itu ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button