BERITA SEMASA

PDRM jamin isu tuntutan bayaran upah jahit pakaian seragam diselesaikan segera

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan menyelesaikan isu tuntutan bayaran upah jahit pakaian seragam bagi pegawai dan anggotanya dengan segera.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Polis (CP), Gilberd Philip Layang berkata, pihaknya memahami keresahan warga pasukan berhubung isu berkenaan yang sedang tular di media sosial.

Jelas beliau, PDRM sedang berusaha bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi pusat berkaitan bagi menyelaras peruntukan dan mempercepatkan proses bayaran itu.

“Kebajikan warga pasukan sentiasa menjadi keutamaan dan usaha penyelarasan giat dijalankan agar semua tuntutan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat mengikut tatacara kewangan serta perolehan yang berkuat kuasa.

“PDRM menggesa semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada proses pentadbiran yang sedang berjalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beiau memberitahu, isu berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan kesiapsiagaan serta tanggungjawab utama PDRM dalam memastikan keselamatan negara terpelihara, terutama menjelang pelaksanaan pelbagai acara antarabangsa sepanjang tahun ini.

“PDRM kekal komited memastikan kebajikan setiap pegawai dan anggota terus dipelihara selaras dengan prinsip kesejahteraan perkhidmatan awam dan semangat MADANI,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button