Pesawat amfibia CL-415MP catat 10,000 jam penerbangan, perkukuh operasi Maritim Malaysia
PUTRAJAYA – Pesawat amfibia Bombardier CL-415MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencatatkan 10,000 jam penerbangan sejak mula beroperasi pada 2009 sekali gus memperkukuh rekod sumbangannya dalam operasi pengawasan maritim, mencari dan menyelamat (SAR) serta misi kemanusiaan.
Pencapaian itu membabitkan pesawat bernombor pendaftaran M71-01 (MSN 2068) yang menerima pengiktirafan daripada pengeluar pesawat, De Havilland.
Maritim Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, pencapaian berkenaan turut diketengahkan pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Pesawat yang mula beroperasi pada 23 Januari 2009 itu dikendalikan Skuadron Amfibia yang berpangkalan di Stesen Udara Maritim Subang.
Menurut kenyataan itu, pesawat berkenaan digunakan untuk pelbagai misi, termasuk pengawasan maritim, SAR, pemadaman kebakaran dari udara serta bantuan kemanusiaan.
“Sepanjang 17 tahun perkhidmatannya, pesawat ini terbabit dalam beberapa operasi utama, termasuk Ops Daulat di Lahad Datu pada 2013, operasi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang serta pencarian kapal tangki minyak Orkim Harmony yang dirampas,” kata kenyataan itu.
Pesawat berkenaan turut dihantar ke Sumatera Selatan, Indonesia, pada 2015 bagi membantu operasi pemadaman kebakaran dari udara dan misi kemanusiaan.
Maritim Malaysia berkata, pencapaian 10,000 jam penerbangan itu mencerminkan sumbangan berterusan aset berkenaan dalam memelihara keselamatan serta kedaulatan maritim negara.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi itu terus memperkukuh keupayaan operasinya menerusi penambahan aset udara dan laut.
Helikopter AW189 pertama daripada empat unit yang diperoleh Maritim Malaysia diterima pada 13 Ogos lalu bagi menyokong operasi penguatkuasaan maritim, pengawasan, SAR, pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) dan operasi khas.
Selain itu, penambahan kapal peronda KM Bendahara turut memperkukuh kehadiran operasi agensi berkenaan di perairan Sabah dan Laut China Selatan.
Maritim Malaysia turut memaklumkan bahawa pembinaan dua Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) menunjukkan kemajuan apabila kapal pertama mencapai 85 peratus siap, manakala kapal kedua mencatatkan kemajuan 34.05 peratus.
Kedua-dua projek itu dilaksanakan lebih awal daripada jadual ditetapkan, dengan kapal pertama dijangka tiba di Malaysia pada awal 2027 sebelum dijadualkan menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027.
Bagi memperkukuh keupayaan agensi itu, peruntukan RM1.088 bilion disediakan untuk 16 projek pembangunan di bawah Pelan Pelaksanaan 2 (Rolling Plan 2) Rancangan Malaysia Ke-13 bagi 2027.
Peruntukan itu meliputi pembangunan infrastruktur, pemodenan aset, sistem dan peralatan operasi serta penyelenggaraan dan pembaikan kapal serta bot.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








