BERITA SEMASA

Maritim Malaysia selamatkan nelayan Thailand cedera parah

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis melaksanakan pelayaran ihsan bagi menyelamat seorang nelayan warga Thailand yang cedera parah dalam kejadian di perairan barat Tanjung Chinchin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira enam batu nautika dari Tanjung Chinchin itu, mangsa, Sucha, 39, dilaporkan mengalami kecederaan serius pada bahagian muka selepas terkena tali ketika berada di atas bot nelayan.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi pada pukul 6.50 petang.

Menurutnya, sejurus maklumat diterima, Prosedur Operasi Kecemasan (POC) segera diaktifkan sebelum Bot PETIR 81 digerakkan ke lokasi kejadian pada pukul 7.10 malam bagi memberikan bantuan.

“Pasukan penyelamat tiba di lokasi pada pukul 7.35 malam sebelum mangsa dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa tiba di jeti pada pukul 8.05 malam dan seterusnya diserahkan kepada pihak Hospital Sultanah Maliha untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Romli, operasi pelayaran ihsan itu selesai sepenuhnya pada pukul 8.30 malam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan komuniti maritim supaya segera melaporkan sebarang kecemasan di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-966 2750 atau melalui MERS 999.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button