BERITA SEMASA

Pindaan Akta Penagih dapat percepatkan proses rawatan pemulihan

Tidak perlu lagi lalui karenah birokrasi

NIBONG TEBAL – Pindaan kepada Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 akan dapat mengangkat kedudukan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam bidang tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, melalui pindaan yang diharap dapat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini itu, mereka yang datang secara sukarela ke pusat pemulihan untuk rawatan, akan dirujuk terus kepada pegawai pemulihan AADK, lapor Bernama.

“Berbanding sebelum ini, undang-undang menghendaki AADK untuk menghantar mereka (penagih) kepada pegawai perubatan yang dianggap mempunyai kepakaran dan legitimasi untuk membuat pemeriksaan ujian air kencing dan seterusnya mengesahkan mereka ini benar memerlukan (rawatan).

“Itu perbezaannya, dan rasional untuk melakukan anjakan paradigma ini adalah kerana pegawai AADK juga mempunyai 41 tahun pengalaman (berkaitan dadah) dan terlatih menerusi kaedah pensijilan yang diiktiraf mengikut standard piawaian antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Xpresi Generasi Kita: Solidariti Bersama Dadah anjuran AADK, di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok.

Sehubungan itu, Saifuddin yakin jika pindaan itu diluluskan ia akan mempercepatkan proses rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah tanpa perlu melalui karenah birokasi yang merimaskan dan pada masa yang sama akan mendorong lebih ramai lagi individu untuk tampil secara sukarela mendapatkan rawatan.

“Saya hanya memerlukan majoriti mudah untuk ia diluluskan dalam Dewan Rakyat, seperti yang berlaku apabila pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) diluluskan baru-baru ini dengan 93 Ahli Parlimen menyokong dan 63 lagi menentang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button