Rahman Dahlan letak jawatan Ketua UMNO Bahagian Tuaran
KOTA KINABALU – Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, beliau difahamkan masih kekal sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Menurutnya, keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selain dibuat atas pertimbangan peribadi dan bukan berpunca daripada sebarang masalah dalam UMNO Sabah.
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk hala tuju politik dan peranan saya selepas ini,” memetik Sinar Harian online.
Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu turut menjelaskan bahawa situasi politik semasa UMNO Sabah memerlukan kepimpinan baharu yang lebih muda bagi memastikan kelangsungan parti.
Untuk rekod, beliau sebelum ini bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Kota Belud, namun tewas kepada calon Parti Warisan.
Selain itu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, beliau turut dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri Tempasuk sebelum mengambil keputusan menarik diri daripada pertandingan.
Perkembangan itu dilihat sebagai sebahagian daripada dinamika perubahan kepimpinan dalam UMNO Sabah menjelang landskap politik akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















