UMNO Terengganu akui kedudukan terkini di titik terendah
KUALA LUMPUR : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat mengakui bahawa kedudukan UMNO di negeri itu kini berada pada tahap paling rendah selepas gagal mempertahankan sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Namun begitu, beliau menegaskan UMNO Terengganu tidak akan berdiam diri sebaliknya komited untuk bangkit semula dan kembali menjadi kerajaan seperti sebelum ini, dengan fokus kepada usaha menjaga kebajikan rakyat.
Menurut beliau, kelemahan utama parti bukan terletak pada kerja yang dilakukan, tetapi kegagalan menyampaikan pencapaian kepada rakyat dengan berkesan.
“Kita kalah bukan sebab tak buat kerja. Kita kalah sebab tak pandai ‘jual’ kerja. Orang lain buat satu… cerita sepuluh. Kita buat sepuluh.. diam macam tak buat apa-apa. Akhirnya rakyat tanya: UMNO ni buat apa sebenarnya?” katanya memetik UMNO Online.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa kegagalan tersebut perlu dijadikan cermin untuk memperbaiki strategi politik, termasuk kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik semasa.
“Cukup-cukuplah mencari dan mencipta alasan. Ini kegagalan kita kerana tidak bijak menyesuaikan diri dalam iklim politik semasa,” katanya lagi.
Beliau turut menyentuh isu pembangunan ekonomi di Terengganu yang menurutnya masih terhad dari segi peluang pekerjaan, kos sara hidup serta kebajikan rakyat.
Sebagai perbandingan, beliau menyebut pencapaian negeri Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang berjaya menjana hasil negeri melebihi satu bilion selama empat tahun berturut-turut.
“Sedangkan kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan pihak sana tidak mampu pun mencapai pendapatan 500 juta setiap tahun,” katanya.
Rozi turut mengulas perbezaan pentadbiran antara kerajaan negeri terdahulu di bawah UMNO dan kerajaan semasa di Terengganu, meskipun negeri itu menerima dana petroleum yang besar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








