Polis panggil saksi insiden pengamal media diasak di Konvensyen PH
JOHOR BAHRU – Polis Johor akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan yang melibatkan sekumpulan pengamal media ketika membuat liputan Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Ahad lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, siasatan sedang dijalankan selepas pihak polis menerima satu laporan berkaitan kejadian itu pada jam 2.16 petang semalam.
Menurut beliau, laporan tersebut dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang mendakwa diasak sekumpulan individu berpakaian hitam sehingga berlaku sentuhan fizikal ketika menghadiri satu perhimpunan di bandar ini.
“Insiden berkenaan turut mendapat perhatian umum selepas beberapa rakaman video mengenainya tersebar dan dimuat naik di media sosial serta dilaporkan oleh pelbagai organisasi media.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan beberapa individu akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.
Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang berlangsung.
Terdahulu, Kelab Media Johor (KMJ) tampil membuat laporan polis susulan tindakan yang didakwa dilakukan oleh skuad keselamatan sebuah parti politik terhadap petugas media ketika liputan konvensyen berkenaan.
KMJ menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan kerana menghalang tugas wartawan dan jurugambar dari Johor serta Kuala Lumpur, sekali gus mencetuskan insiden tolak-menolak dan pertikaman lidah di lokasi acara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








