[VIDEO] Kren pembinaan runtuh timpa tren di Thailand, sekurang-kurangnya 22 maut
BANGKOK – Sekurang-kurangnya 22 orang terkorban manakala kira-kira 80 lagi cedera selepas sebuah kren pembinaan runtuh dan menimpa sebuah tren penumpang di timur laut Thailand, dalam satu kemalangan tragis pagi tadi.
Kejadian berlaku di daerah Sikhio, wilayah Nakhon Ratchasima, kira-kira 230 kilometer di timur laut Bangkok.
Menurut laporan Al Jazeera, tren berkenaan sedang dalam perjalanan dari ibu negara menuju ke wilayah Ubon Ratchathani.
“Seramai 22 orang terbunuh dan lebih 30 cedera,” kata ketua polis tempatan di wilayah Nakhon Ratchasima, Thatchapon Chinnawong.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn dalam satu kenyataan berkata, seramai 195 penumpang berada di dalam tren ketika kejadian dan beliau telah mengarahkan siasatan segera dijalankan.

Menurutnya, kesemua mangsa yang terkorban berada di dua daripada tiga gerabak yang dihentam kren berkenaan.
Wartawan Al Jazeera, Tony Cheng melaporkan dari Bangkok bahawa tren tersebut dipercayai sedang melalui kawasan tapak pembinaan projek kereta api berkelajuan tinggi apabila kren yang beroperasi di atasnya tiba-tiba runtuh.
“Tren itu kemudian tergelincir selepas melanggar kren berkenaan dan berlaku kebakaran kecil sejurus selepas itu,” katanya.
Cheng berkata, laporan awal menyebut hanya empat kematian direkodkan, namun angka itu meningkat dengan pantas kepada 12 sebelum disahkan oleh polis Thailand kepada Al Jazeera bahawa jumlah korban kini mencecah 22 orang, dengan kemungkinan ia terus bertambah.
Menurut polis, kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi menyelamat sedang giat dijalankan di lokasi kejadian.
Seorang penduduk tempatan, Mitr Intrpanya, 54, yang berada berhampiran lokasi ketika insiden berlaku berkata, dia terdengar bunyi kuat sebelum melihat kemusnahan tersebut.
“Sekitar pukul 9 pagi, saya dengar bunyi kuat seperti sesuatu meluncur jatuh dari atas diikuti dua letupan.
“Apabila saya melihat apa yang berlaku, saya dapati kren itu berada di atas tren penumpang dengan tiga gerabak. Logam daripada kren itu seolah-olah menghentam bahagian tengah gerabak kedua hingga terbelah dua,” katanya.
Projek kereta api berkelajuan tinggi yang terlibat adalah sebahagian daripada inisiatif Belt and Road Initiative (BRI) China yang bertujuan menghubungkan Bangkok ke Kunming, China melalui Laos menjelang 2028.
Ini merupakan salah satu projek infrastruktur terbesar di Asia Tenggara, namun turut menarik perhatian kerana risiko keselamatan bekerja berhampiran landasan aktif.
Sekurang-kurangnya 22 maut dan 55 cedera selepas sebuah kren pembinaan rel berkelajuan tinggi runtuh menghempap Tren No. 21 yang dalam perjalanan dari Bangkok ke Ubon Ratchathani, di antara stesen Nong Nam Khuean dan Si Khio. Seramai 190 penumpang berada di dalam tren berkenaan. pic.twitter.com/8uWX4LmDoD
— Malaysia Tribune (@Msia_Tribune) January 14, 2026
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








