SUKAN

ISTAF ambil tindakan disiplin terhadap lima pemain Thailand, tiga pegawai

SINGAPURA – Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) memutuskan untuk memulakan prosiding disiplin terhadap lima pemain Regu Ketiga Thailand serta tiga pegawai pasukan berhubung insiden dalam perlawanan akhir acara berpasukan TM ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur 2026 pada 24 Mei lalu.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang diadakan secara dalam talian semalam dan dihadiri wakil beberapa negara, selepas meneliti laporan rasmi pegawai pertandingan, aduan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), rakaman video serta penjelasan daripada Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT).

Menurut ISTAF, terdapat asas mencukupi untuk meneruskan prosiding disiplin terhadap lima pemain Thailand yang didakwa enggan meneruskan perlawanan ketika aksi berlangsung.

Turut terlibat dalam prosiding ialah dua jurulatih dan seorang pengurus pasukan yang didakwa mengarahkan, menyokong atau gagal menghalang tindakan berkenaan.

“Isu tersebut perlu ditangani secara tegas dan adil bagi memelihara integriti serta disiplin sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa, selain memastikan sukan itu terus memenuhi syarat untuk kekal dalam temasya besar seperti Sukan Asia Nagoya 2026 dan Sukan Asia Doha 2030, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

IISTAF berkata, surat pertuduhan rasmi akan dikeluarkan selewat-lewatnya hari ini, manakala kesemua lapan individu terbabit diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan jawapan bertulis sebelum prosiding lanjut dijalankan.

‘ Tujuh pemain Thailand daripada Regu Pertama dan Regu Kedua yang berada di kawasan gelanggang ketika insiden berlaku dikenakan Amaran Keras,” katanya lagi.

Mereka turut diwajibkan menandatangani surat aku janji yang mengandungi komitmen untuk menghormati keputusan pengadil, mematuhi peraturan ISTAF, tidak melakukan provokasi serta mengekalkan semangat kesukanan dan fair play.

Sementara itu, Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) diminta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada komuniti sepak takraw antarabangsa berhubung insiden tersebut.

ISTAF turut berkata, setiap pelanggaran disiplin akan ditangani secara adil, telus dan berlandaskan prinsip perundangan sukan bagi memastikan maruah serta integriti sepak takraw terus terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button