Penyokong Thailand boikot bantah peraturan baharu tiket Sukan SEA
BANGKOK – Gelombang protes melanda persiapan bola sepak Sukan SEA 2025 apabila sekumpulan penyokong tegar Thailand mengumumkan tindakan boikot terhadap perlawanan skuad kebangsaan susulan pelaksanaan peraturan baharu pembelian tiket.
Kumpulan Ultras Thailand berkata, mereka tidak akan memasuki stadium sepanjang temasya itu berlangsung sebagai bantahan terhadap syarat pendaftaran kad pengenalan bagi pembelian tiket.
Menurut kumpulan berkenaan, syarat tersebut dianggap sebagai bentuk kawalan yang menjejaskan kebebasan asas penyokong selain menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan data peribadi.
“Memaksa penyokong menyerahkan maklumat peribadi sebelum memasuki stadium adalah pelanggaran kebebasan asas kami,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mereka berpendapat tindakan berkenaan membuka ruang kepada risiko data dibocorkan atau digodam sekali gus menjejaskan keyakinan penyokong untuk hadir ke stadium.
Selain isu pendaftaran, Ultras Thailand turut membantah susunan tempat duduk yang meletakkan penyokong tuan rumah di belakang gol.
Menurut mereka, penyusunan itu memberikan kelebihan kepada pasukan lawan dan mengurangkan tekanan penyokong terhadap lawan di atas padang.
“Susunan zon penyokong yang baharu ini lebih menguntungkan pasukan pelawat. Ia tidak adil untuk penyokong,” katanya lagi.
Bagaimanapun, mereka tetap merancang mengikuti perjalanan pasukan ke setiap lokasi perlawanan sepanjang Sukan SEA berlangsung di Thailand, namun dengan pendirian tegas untuk tidak memasuki stadium selagi isu tersebut tidak diselesaikan.
“Kami tetap bersama pasukan kebangsaan, tetapi kami tidak akan tunduk kepada keputusan pihak berkuasa sukan Thailand,” katanya lagi.
Situasi itu dijangka memberi tekanan kepada penganjur temasya dan Persatuan Bola Sepak Thailand untuk menilai semula peraturan baharu tersebut menjelang acara rasmi bulan ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








